Apakah Islam Liberal?
Definisi liberal menurut Kamus Dewan (DBP, Kuala Lumpur):
- (bersifat) condong kepada kebebasan dan pemerintahan demokratik (misalnya menentang hak-hak keistimewaan kaum bangsawan), (fahaman) bebas.
- bersifat atau berpandangan bebas, berpandangan terbuka (tidak terkongkong kepada aliran pemikiran dan sebagainya).
Islam sendiri adalah agama yang bersifat liberal. Ciri2 keliberalan Islam ialah:
- membebaskan manusia daripada perhambaan dan penyembahan sesama makhluq,
- membebaskan manusia daripada penindasan, kezaliman dan penghinaan sesama manusia,
- terbuka terhadap sebarang peradaban manusia selagi ia tidak melibatkan perbuatan menyekutukan Allah (syirik), perbuatan yang menyalahi syariat Allah, dan kepercayaan yang merendahkan kedudukan manusia hingga ke taraf kebinatangan.
Justeru, kenapakah fahaman "Islam Liberal" muncul? Apakah Islam yang diturunkan Allah tidak cukup liberal bagi mereka yang menganut fahaman ini?
Sebenarnya, liberalnya "Islam Liberal" adalah kerana fahaman ini mengamalkan ciri keterbukaan dan kebebasan yang melampaui daripada yang telah ditetapkan oleh batasan syariat Islam yang diturunkan Allah.
Kelahiran fahaman Islam Liberal
Fenomena penjajahan negara-negara umat Islam oleh kuasa Barat serta fenomena tahap penguasaan sains dan teknologi umat Islam yang jauh terkebelakang berbanding Barat adalah dua situasi yang dihadapi oleh umat Islam sejak lebih kurang seabad yang lalu.
Dalam menghadapi situasi ini, sikap yang diambil umat Islam boleh dirumuskan kepada empat, iaitu:
1. Putus asa dalam kehidupan dunia
Terdapat umat Islam menjadi putus asa dan merasa rendah diri terhadap situasi yang berlaku menerimanya sebagai ketentuan yang sememangnya telah ditetapkan untuk memundurkan mereka.
2. Pemisahan agama dari kehidupan harian
Terdapat umat Islam yang berpendapat agama menjadi faktor penghalang bagi mencapai kemajuan. Justeru, agama mesti dipisahkan daripada kehidupan seharian melalui formula sekularisme yang terbukti berkesan dan berjaya dilakukan oleh Barat.
3. Membebaskan diri dari agama melalui penafsiran semula
Terdapat umat Islam yang turut berpendapat bahawa agama menjadi faktor penghalang mencapai kemajuan, namun penyelesaian yang mereka ambil adalah dengan membuka dan membebaskan agama Islam yang sebenar yang telah menjadi pegangan sejak zaman Nabi dahulu lagi. Mereka menganggap belenggu kejumudan umat Islam dalam menafsirkan dan mempraktikkan semula ajaran agama adalah penyebab kelemahan dan kemunduran umat Islam. Golongan inilah yang menganut fahaman Islam Liberal.
Kelompok Islam Liberal ini sebenarnya dihantui oleh perasaan inferiority complex dan dengan situasi penjajahan dan ketinggalan umat Islam sekarang, dan perasaan tergiur serta menyembah peradaban Barat yang maju sehinggakan menjadikan mereka hilang jati diri sebagai Muslim yang sebenar.
4. Berpegang teguh dengan agama
Namun terdapat sebahagian umat Islam yang terus memegang teguh dengan agama, dan menganggap bahawa agama bukanlah penyebab kemunduran dan kelemahan umat Islam. Punca utamanya ialah kerana umat Islam sendiri yang meninggalkan ajaran agama mereka sebenar.
Bagi mereka, kekuatan dan dan kejayaan hendaklah berteraskan neraca wahyu Ilahi yang berpaksikan kepada Al-Quran dan As-Sunnah, bukannya mengikut acuan Barat yang berteraskan materialisme dan hawa nafsu.
Golongan yang keempat inilah yang benar dan insyaAllah, dengan kesungguhan mereka, maka keagungan dan kekuatan Islam akan kembali ke tangan umat Islam.
P/s: Ok, cukup sekadar itu buat pengenalan. Part 2 nanti aku akan ceritakan bagaimana manhaj Islam Liberal ini terhadap agama Islam, Al-Quran, Rasulullah SAW, hadis-hadis nabi, ilmu-ilmu Islam, dan hukum-hukum Fiqh. Begitu juga akan mengenai tokoh-tokoh Islam Liberal di nusantara ini serta kewujudannya di Malaysia.
(Semua tulisan di atas dirujuk dari tulisan sdr. Hafiz Firdaus Abdullah, dan menjadi tumpuan utama Majalah i, keluaran Ogos 2004.)
Labels: Agama