November 28, 2004

Iklan raya

"Ada kalanya apa yang dipohon lebih baik dari apa yang dihulur." Indah ayat ini. Ia adalah tagline iklan raya tahun ini oleh Kurnia Insurans. Sekali imbas mungkin ramai tak perasan, tapi ayat ini adalah antagonis kepada "Tangan di atas lebih baik dari tangan yang di bawah."

Tangan di atas bermaksud tangan yang memberi, dan yang di bawah adalah yang menerima. Biasanya, yang memberi bersifat dermawan, bersedekah dan memberi sedikit apa yang ada kepada insan lain yang memerlukan. Manakala yang di bawah adalah yang tiada, yang meminta-minta, dan yang memerlukan.

Namun Kurnia Insurans berjaya memecah tembok kebiasaan itu. Maksud aku, yang meminta kekadang lebih bermakna berbanding yang memberi. Lihat saja reaksi si bapa terhadap permohonan anaknya yang terakhir. "Man minta ampun dan maaf pada abah dari hujung rambut sampai hujung kaki, halalkanlah makan minum Man." Keikhlasan jelas terpacul dari mulut si anak membuat si bapa menangis. Tak perlu hadiahkan jam, baju atau pemberian lain yang bersifat material. Bukan itu yang mereka mahu, hanya sedikit keikhlasan dalam mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Setelah bertahun-bertahun iklan raya menarik dibolot Petronas, tahun ini aku rasa milik Kurnia Insurans. Aku mungkin juga suka dengan iklan raya oleh TV3, tetapi Kurnia Insurans lebih bijak meruntun emosi penonton. Mungkin TV3, Petronas cuba gandingkan konsep Deepa-Raya, tetapi ternyata Kurnia Insurans muncul terbaik dan mesejnya berjaya kekal di minda penonton.

p/s: tapi awas, tidak semua memberi dan menerima itu baik, contohnya memberi dan menerima rasuah. :)

Labels: