October 28, 2004

Ramadhan kali ini

Ramadhan kali ini agak berbeza dari sebelum-sebelum ini.

Kalau sebelum ni aku berdua dengan isteri berbuka tapi Ramadhan kali ni aku berbelas2 orang dengan jemaah masjid berbuka sama-sama.

Kalau sebelum ni aku & isteri tiap-tiap petang ke PaRam - Pasar Ramadhan (Dobot kata Pasar Gesel) membeli juadah berbuka, tapi Ramadhan kali ini aku amat jarang sekali (perhatikan dua kata penguat - salah kalau ikut tatabahasa BM, tapi aku nak juga guna dua kata penguat) pergi jalan-jalan cari juadah. Nak habiskan RM10 seminggu pun susah. Sebabnya Ramadhan kali ini aku berbuka kat masjid, pihak masjid sediakan makanan.

Dulu seronok beli juadah untuk aku dan keluarga makan, tapi kali ini hanya tunggu makan apa yang disedia. Dulu waktu berbuka makan berselera sebab juadah yang dibeli semua yang aku teringin nak makan, tapi kali ini apa yang disedia semuanya "sedap" bagi aku, semuanya aku telan. Kalau sebelum ni aku rasa seronok berbuka dengan isteri & anak, dan seronok berbuka kat rumah sendiri, tapi Ramadhan kali ni aku sayu masa berbuka di masjid teringat isteri & anak kat kampung.

Tapi dalam kesayuan aku, aku sedar banyak hikmahnya Ramadhan kali ini.

Aku ada banyak masa untuk baca Quran & iktikaf. Kadang-kadang selepas waktu ofis aku terus singgah masjid dan baca Quran sampai waktu berbuka, dan hanya balik rumah selepas berbuka. Kadang-kadang kalau aku keluar ofis awal, aku balik rumah dulu dan pergi masjid dekat waktu berbuka, dan terus berada di masjid sampai selesai buat tarawih. Lepas berbuka aku sibukkan diri membaca Quran, iktikaf dan "tidur-sambil-duduk" ;)

Aku dapat belajar redha dengan makanan apa yang pihak masjid sediakan. Aku belajar sabar agar tidak berebut waktu nak makan. Aku juga belajar untuk tidak tamak sebab makanan kat masjid bukan disediakan untuk melantak, tapi sekadar untuk menunaikan kewajipan berbuka. Bila ramai-ramai berbuka maka kena ingat orang lain sama, jangan main bantai nak kenyang sorang.

Aku juga rasa betapa indahnya persaudaraan seIslam. Indah bila kita sama-sama menjemput orang lain dulu untuk mengambil makanan, indah bila kita makan berkongsi dengan saudara yang kita tidak kenal langsung tapi dah jadi saudara rapat bila selalu makan sekali, indah bila sama-sama senyum simpul bila makanan kureng biasa saja, dan indah bila sama-sama ketawa besar bila makan sedap!

Dan satu lagi kelebihan Ramadhan kali ini, disebabkan aku jarang ke PaRam, maka kuranglah kadar penurunan pahala puasa aku disebabkan mata aku memandang yang tidak sepatutnya, atau kulit tangan aku yang tergesel benda yang tidak sepatutnya digeselkan... Alhamdulillah!

p/s: Ini kali pertama aku singgah cybercafe dalam Ramadhan kali ini.

Labels: