November 6, 2004

Antara dua darjat

Semalam hujan & banjir dekat jalan Sg Besi lama. Aku balik ke Cheras selalu ikut jalan tu. Air naik sehingga ke paras lutut, motor aku mati dan terpaksa ditolak. Bukan aku seorang, ramai lagi penunggang motor yg terpaksa tolak motor masing-masing. Traffic jam tu memang takleh nak kata apa lah, dah jadi bottleneck kat situ, semua kereta tak bergerak.

Tengah sibuk-sibuk menolak tu, aku lihat ada kereta Waja tenggelam betul-betul di tengah jalan tu. Pemandunya perempuan. Aku dapat lihat dia melambai-lambai ke arah kami, nak minta tolong kut. Namun apa nak buat, kami pun terpaksa tolak motor sebab takut tenggelam. Kasihan perempuan itu, aku tak nampak ada seorang pun yang datang menolongnya.

Dan di depan lagi ramai sangat orang mengerumuni satu kereta yang tenggelam. Ada polis trafik, dan beberapa orang yang aku nampak baru turun dari trak polis yang turut tenggelam menuju ke kereta itu. Aku ingat ada mangsa banjir yang mati tenggelam ke apa.

Bila aku sampai dekat sikit, rupa-rupanya yang tenggelam tu kereta Yang Di Pertuan Agung. Aku yakin kereta tu milik YDP Agung kerana warna platnya kuning, dan ada lambang Kerajaan Persekutuan. Mereka menolak beramai-ramai kereta tersebut. Ada beberapa orang awam pun turut sama datang membantu.

Bila aku melepasi kereta YDP Agung tersebut, ada dapat lihat lagi beberapa orang yang baru turun dari kereta pengiring Baginda berpatah balik untuk membantu. Yang lawaknya semua yang turun tu berpakaian lengkap baju melayu dengan sampin!

Bila dah sampai jauh di depan, di tempat yang agak tinggi dan tak tenggelam lagi, aku start motor dan panaskan enjin dulu. Sementara menunggu tu beberapa polis trafik menderum melintasi kami menuju ke arah tempat yang kereta YDP Agung yang tenggelam tadi. Hmm... ramai sungguh nak tolong Baginda.

Aku tak tahu nak kata apa. Aku akur Baginda layak menerima layanan dan bantuan sebegitu kerana Baginda merupakan individu terpenting dalam negara. Cuma kadang-kadang aku rasa kita rakyat bawahan dan anggota keselamatan ni lebih suka melihat status seseorang itu sebelum menghulurkan bantuan. Betulkah begitu?

Wallahua'lam.

Labels: