October 14, 2004

Marhaban Ya Ramadhan!

Kenangan mengusik jiwa

Bulan Ramadhan menjelang lagi. Banyak kenangan lalu mengusik jiwa dan raga. Kenangan semasa kecil lebih indah berbanding zaman sekolah menengah dan sekarang.

Pernah beberapa kali aku terlupa, termakan buah mangga pokok belakang rumah, dekat separuh baru aku teringat yang aku puasa. Oleh kerana aku seorang budak yang bersopan santun dan suka menolong orang tua-tua, jadi aku beritahu ayah. "Kalau lupa takpe..." ayah cakap. Aku senang hati sebab perut kenyang, tapi boleh terus puasa.

Semasa jemaah surau sebelah rumah aku bersembahyang terawih, aku dan geng aku ada banyak masa untuk bermain sebab ahli jemaah buat terawih 20 rakaat, tambah witir lagi tiga rakaat. Kami beraya sakan tiap-tiap malam sampai hari raya.

Kami lancarkan perang mercun dengan budak-budak kampung seberang sungai. Kami tembak meriam buluh, diorang tembak balik dengan meriam buluh, kami baling mercun katak, diorang balas jugak dengan mercun katak. Undang-undangnya, kalau siapa yang diam tidak balas bunyi, maknanya siapa habis mercun dulu, dia kalah.

Gigi depan aku pernah patah kena batu yang budak kampung seberang baling, sebab diorang dah habis mercun. Masa tu aku kat atas jambatan. Cis, tak aci, main jahat. Aku tahan tak nak menangis masa balik rumah, kalau aku menangis, kat rumah nanti aku akan berguling-guling menangis sebab ayah akan kasi hadiah tali pinggang kat tengah belakang.

Hmm, tu zaman aku budak-budak, tahun awal 1980-an. Aku tak tahu budak-budak sekarang main apa malam raya. Bila tua-tua camni dah tak ada semua tu. Sekarang bila Ramadhan datang teringat nak tambah ibadat sahaja di samping meratapi nasib poket yang bakal kontang.

Semoga Ramadhan kali ini penuh makna, agar dapat kita laluinya dengan sempurna...

Bulan kembali kepada Tuhan

Dan hayatilah lirik lagu ini. Bandingan yang dibuat tuntas, tepat dan mengena. Penulis lirik dapat membaca situasi zamannya dengan cemerlang. Moga jadi ingatan dan pedoman buat aku yang lemah dah mudah terpedaya...

RAMADHAN DUA ZAMAN
Nadamurni - Album Keharmonian Di Aidilfitri
1994

Ramadhan, satu nasib tak serupa,
Peluangnya sama, natijah berbeza.

Ramadhan mereka gemilang cemerlang,
Mukmin berjasa di awal zaman.
Ramadhan kami malang terbuang,
Muslim berdosa di akhir zaman.

Mereka gembira kerana kedatanganmu,
Kami gembira dengan pemergianmu.
Malam mereka meriah disimbah nur Al-Quran,
Tapi malam kami muram berkabung dengkur.

Mereka berlumba mengejar makrufat,
Tapi kami lesu diburu nafsu,
Hati mereka bercahaya digilap taqwa,
Jiwa kami gelap didera dosa

Takbir mereka takbir kemenangan
Hadiah mujahadah sebulan Ramadhan
Takbir kami lesu tak bermaya
Tanda kalah lemah tak berdaya

Puasa sekadar lapar dan dahaga....

(sumber lirik dari blog Saifudin)

Labels: