Kasih ayah
Membaca blog Aiz tentang kisah baju ayahnya, aku terus teringatkan ayahku. Bukanlah selama ini aku tidak ingat, tapi ia membuatkan aku terharu dengan pengorbanan ayah. Jerih payah ayah membesarkan keluarga besar kami amat kurasakan.
Mesejnya sama, tapi plot cerita aku dan Aiz amat berbeza.
Ayahku bukan seorang doktor, dan kami bukanlah dari keluarga berada. Sekadar pesawah yang mengerjakan tanah sekangkang kera peninggalan arwah mak, apalah sangat pendapatannya. Kalau menurut Zul AR, pak tani sekarang cukup terbeban dengan kos mengusahakan sawah yang semakin meningkat.
Kami tidak pernah dihadiahkan basikal BMX, komputer, toys, baju yang cantik2, jauh sekali dibawa pergi holiday!
Namun semangat ayah tetap teguh dan kukuh untuk terus membesarkan kami dengan sempurna. Dibekalkan kami dengan didikan agama yang tegas, dan diingatkan kami dengan nasihat supaya belajar, belajar dan belajar. Itulah perkataan yang acap terpacul dari mulutnya, sentiasa dan sepanjang masa.
Pesanannya menjadi obor penerang jalan untuk kami. Katanya sentiasa terngiang di telinga kami, "Ayah tiada harta untuk ditinggalkan, ilmulah yang akan memartabatkan kamu semua di masa depan."
Ayah cukup bahagia dengan kejayaan anak-anaknya dalam pelajaran, wajahnya jelas menceritakan segalanya. Dan ayah pasti akan berkongsi kegembiraan itu dengan arwah mak, biarpun hanya mampu mengkhabarkannya di tepi persemadian arwah.
Aku semakin mengerti naluri dan perasaan seorang ayah, kerana kini aku jua telah bergelar seorang ayah...
Selamat Hari Bapa untuk ayahku tercinta!
Labels: Family