June 3, 2004

Selamat Pengantin Baru

Selamat Pengantin Baru diucapkan kepada Paksu Anuar & Maksu, dan Yoi & Am. Hari ini adalah walimah "kembar" mereka.

Perkahwinan... aku telah melaluinya pada 2 Februari 2002 bersama isteri tercinta, dan kini ikatan yang termeterai itu diperkuatkan lagi dengan kehadiran anak aku tu.

Bagiku, ia adalah ikatan maha suci lahir dari paduan dua hati dan jiwa, yang menyuburkan benih cinta mengakar kukuh dan teguh, merendangkan ranting-ranting kemanisan dan keindahan kasih sayang, dan menjadi obor saksi penerus perkongsian kehidupan menuju keabadian.

Tersua di blog Sri Diah, untaian kata-kata indah ini kutujukan kepada isteriku, dan juga kepada kedua pasang mempelai yang diraikan...

Kerana dia telah kupanggil suami;
Masa lalu tenggelam bersama bulan bersama matahari
Masa depan adalah hidangan kasih nan luas tak terperi
Entah hiba, entah ceria, entah tak ada, ia misteri

Kerana aku telah dipanggil isteri;
Nescaya kusongsong hari dengan erti
Kentalnya semangat, mimpi bukan ilusi
Mercu cinta ini tidak lunyai menemani hari

Perkahwinan adalah kota maaf gerbangnya setia
Simpanlah aib kerana ia adalah rahsia
Sanggulkan wangi jujur pada hati
Kutiplah bunga damai di sisi hari

Dalam belentara cinta yang menyala
Perkahwinan ini anugerah dari tepukan bahagia
Kita terus melangkah tanpa curiga malah siaga
Menyandang restuMu Illahi, Rabbul Izzati

Kerana kita;
Suami adalah nafas hidup
Isteri adalah nadi jiwa

Labels: