Terusik
Ada beberapa perkembangan semasa yang menyebabkan aku terusik...
Ada hotel kata kalau nak kerja kena buang tudung. Ada kilang kata nak kerja tak boleh sembahyang Jumaat. Dulu ada pihak mempertikaikan peraturan universiti Islam yang mewajibkan pelajar bukan Islam menutup rambut mereka, kata mereka peraturan itu melanggar hak asasi. Tiba-tiba Islam menjadi satu masalah besar kepada rakyat di sebuah negara Islam... kasihan Islam.
Akhbar-akhbar yang memalukan dan menghina Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wasallam dengan menyiarkan kartun jahanam itu, mereka akhirnya terima akibat. Sekarang ada satu lagi akhbar katanya mereka tersilap menyiarkan kartun yang dianggap sensitif dengan suasana sekarang. Walaupun mereka minta maaf, tetapi mereka masih menegakkan bahawa mereka tidak menyiarkan kartun berupa gambar Nabi. "Tiada langsung gambar Nabi," kata mereka. Dua kali kartun tersebut disiar, "apa salah kami, kami tidak faham kenapa anda kata kami menghina Nabi dengan kartun ini...?" Mereka juga berkata lagi, kartun itu kalaulah disiarkan di waktu yang tidak seperti mana sensitif sekarang, pasti tiada orang yang akan buat hal pun. Ohh, beraninya mereka!
Kenapa? menghina Nabi bukan sahaja dengan melukis gambar Baginda, menghina tetapi juga boleh melalui tulisan, melalui perkataan. Ada orang menulis dahulu Nabi seorang yang gila seks kerana beristeri ramai. Ada orang berkata dahulu bahawa Nabi menyimpan janggut kerana zaman Nabi dulu tiada pisau cukur. Ohh, beraninya mereka, berani sungguh!
Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wasallam pernah bersabda yang lebih kurang bermaksud "Islam itu bermula dagang (asing), dan di akhir zaman nanti ia akan kembali menjadi dagang, maka besertalah kamu dengan orang-orang yang dagang." Dagang maksudnya Islam itu menjadi sesuatu yang pelik. Islam menjadi agama yang dianggap asing. Orang-orang yang mengamalkan Islam menjadi orang-orang pembawa masalah. Dan Islam akhirnya lunyai dihentam dan dipijak penganutnya sendiri...
Namun aku tahu, ramai orang-orang Islam yang mahu kembali menjadi dagang di luar sana...
Labels: Kritik