May 31, 2004

Kesunyian

Aku masih di pejabat biarpun jam sudah menunjukkan hampir 6.00 pm. Selalunya aku kembali ke rumah awal, sekitar 5.00-5.15 pm sekiranya tiada beban kerja yang mendesak.

Sebaik saja sampai di rumah, penat lelah aku pasti cair dek kerana yang menyambut aku adalah anak aku sorang yang baru boleh berjalan tu. Isteriku tampil dengan air sejurus kemudian.

Namun hari ini dan untuk seminggu akan datang, aku akan kesunyian. Isteri dan anakku pulang ke kampung kerana waliwah paksu dan sepupunya Khamis depan. Aku tidak turut serta kerana bekerja.

Aduhai, kesunyian ini cukup menyiksakan, keletah anak kecilku itu cukup kurindui. Ini baru hari kedua mereka pulang...

Apa aku nak buat untuk seminggu akan datang ni? hmm...

Labels:

Syurga mukah?

Membaca berita "Police seek help in curbing prostitution" dalam NST hari ini cukup memualkan aku.

Apa tidaknya, jumlah yang ditangkap terlibat dalam flesh trade untuk 4 bulan pertama tahun ini ialah sebanyak 2,145 orang. Dan dijangka tangkapan tahun ini akan melebihi jumlah tangkapan sebanyak 5,878 bagi sepanjang 2003.

Juga dilaporkan kebanyakan wanita yang dibawa ke Malaysia untuk terlibat dalam aktiviti bejat ini tahu terlebih dahulu "tugas" mereka, cuma sedikit yang terperangkap oleh sindiket tertentu.

Apa maksudnya ini?

Aku hairan kenapa aktiviti sebegini terus subur dan bercambahbiak biarpun tangkapan demi tangkapan dibuat? Adakah ada dalang di sebaliknya? Dalang dari kalangan yang berkuasa namun memejam mata kerana kenyang disuap?

Dan satu lagi yang memeningkan kepala aku, kenapa hanya tangkapan pelaku sahaja yang dibuat? Kenapa tidak ditutup tempat-tempat yang menawarkan perkhidmatan sebegitu? Kenapa lesen masih diberikan kepada kelab-kelab malam untuk beroperasi? Kenapa pusat-pusat hiburan yang menawarkan khidmat GRO semakin banyak tumbuh?

Hmmm, banyak persoalan yang tidak terjawab...

Labels:

Faktor kemunduran umat Islam

Aku diminta seorang teman untuk menulis esei berkenaan faktor kemunduran umat Islam. Agak tinggi dan sukar nilai tajuk itu dan kupasannya pasti panjang berjela. Namun, temanku hanya memerlukan esei sepanjang maksimum 3 mukasurat sahaja...

Kucuba cari rujukan berkaitan, dan aku ketemu satu artikel dalam Majalah Al-Manar Edisi Jun 1997, karya Dr. Wahbah al-Zuhayli bertajuk Fenomena & faktor-faktor kemunduran Dunia Islam. Ia menarik perhatianku.

Dan inilah hasilnya...

Labels:

May 29, 2004

Pembuka Bicara

Dimulakan dengan Bismillah...

Hari ini menyaksikan kelahiran Bila Minda Berbicara... ke alam siber.

Aku mula meminati blog selepas sekian lama menjadi pengikut setia Screenshots oleh Jeff Ooi, kemudiannya Nik Nazmi Nik Ahmad, VOI oleh Aizuddin Danian, dan Critical Thoughts serta Pejuang Bangsa oleh MENJ.

Bila Minda Berbicara... berkisar pada amatan, ulasan, buahfikir, idea dan rasa hati aku terhadap sebarang perkara, isu, peristiwa atau apa sahaja di mana-mana.

Melaluinya aku cuba merungkai kekusutan, memecah keraguan, melontar kupasan dan menjana diskusi untuk membuka minda dan jiwa ke arah ruang ilmu, maklumat dan pengetahuan maha luas di luar sana.

Dan pastinya ia menjadi wahana penyambung bicara, penghubung rasa dan pengikat silah kepada semua.

Demikian buah bicara pertama... wassalam.

Labels: ,