Belasungkawa
Al-Fatihah untuk arwah Dr. Latifah Mohd Noor, pensyarah Kulliyah Ekonomi dan Sains Pengurusan UIA, yang telah kembali ke rahmatullah pada lebih kurang pukul 4.16pm semalam, Khamis bersamaan 5 Ramadhan 1427. InsyaAllah ruh beliau akan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh dan diredhai oleh Allah serta dimasukkan ke syurga Allah hendaknya.
Beliau pulang dijemput Allah pada petang Khamis, menghampiri malam Jumaat, dan di dalam bulan Ramadhan. Alhamdulillah, itu tanda beliau pulang dalam keredhaanNya, gembira bertemuNya...
******
Perasaan aku sedikit terkilan... Aku dapat berita kematian pensyarah yg amat baik denganku itu lebih kurang pukul 5ptg dari ibu angkatku, yg juga bekas pensyarah UIA. "Din, ada bad news, Dr. Latifah meninggal." Terkedu aku mendengar berita itu...
Ramadhan tahun lepas aku mendapat tahu beliau terpaksa dibedah kerana sakit di kepala. Ketika itu aku sekeluarga telah berpindah ke Kedah dan lantaran kesibukan pengajianku, masa dan jarak menghadkan aku dan isteri menziarahi arwah dan keluarga. Setahun kemudian pada Ramadhan kali ini, berita kematiannya yang aku terima...
Dia pensyarah yang amat baik. Amat perihatin dengar anak2 muridnya. Dia tidak lokek dengan ilmunya, malah dermawan pula dengan wang ringgitnya. Begitu juga suaminya, Dr. Alias. Mereka ibarat ibu bapa kami di universiti...
Semester pertama pengajian pada awal 1998 dahulu, aku belajar Statistical Methods dengannya, dan dia memberi A padaku. Pernah juga aku menerima sumbangan wang darinya. Bukan sahaja aku, beberapa orang kawanku dari keluarga yang susah turut mendapat bantuannya. Hubungannya dengan semua anak muridnya amat rapat.
Aku dan kawan sentiasa dijemput makan di rumahnya, berbuka puasa kalau di bulan Ramadhan, malah terus berjemaah Tarawih di rumahnya. Jamuan hari raya, kenduri doa selamat, kamilah yang meramaikannya. Semasa dia berpindah rumah, kamilah juga yang dia jemput untuk sama2 membantu mengemas barang-barang, sudah tentulah hanya selepas dia menjamu kami makan sekenyang-kenyangnya.
Isteriku juga rapat dengan arwah dan keluarganya. Ketiga-tiga anak perempuannya belajar al-Quran dengan isteriku. Dia juga datang berziarah ke rumah kami di Gombak bila kami buat house-warming selepas kahwin. Rumah yg kecil dan ala kadar serta sempit pula jalan nak masuknya tidak menjadi masalah kepadanya. Hubungan silaturrahim yang dia utamakan.
Selepas mendapat berita sedih itu, aku tahu aku perlu pergi menziarahi arwah dan keluarga di Gombak. Selepas menyelesaikan beberapa urusan penting, aku nekad bertolak ke Gombak malam Jumaat tu. Perjalanan ke Gombak mengambil masa dekat dua jam memandu dari tempat aku ini. Lebih kurang 9mlm aku bertolak.
Namun tiada rezeki aku... dalam perjalanan aku menghubungi adik iparku, pelajar UIA, yang telah pergi melawat arwah, dan aku juga dapat bercakap sendiri dengan anak arwah, aku diberitahu bahawa jenazahnya akan dibawa pulang ke Melaka malam ini juga pukul 10 mlm, dan akan dikebumikan keesokan harinya. Sudah tentulah aku tak sempat sampai sebelum pukul 10mlm.
Ya, aku terkilan tak dapat pergi menziarahi arwah dan Dr. Alias sekeluarga. Hanya Al-Fatihah dan Yaasin kukirimkan. InsyaAllah aku pasti akan menziarahi Dr. Alias dan anak-anaknya selepas beberapa hari nanti. Moga mereka tabah dan sabar dengan ujian dari Allah ini.
Adik iparku yang pergi menziarahi arwah dan Dr. Alias sekeluarga menceritakan bahawa terlalu ramai orang yang datang menziarahi arwah. Presiden UIA, Datuk Sanusi Junid, Rektor UIA sendiri dan pensyarah-pensyarah lain juga datang, anak2 murid arwah pun ramai yang datang dan mereka bergilir2 membaca al-Quran dan Yaasin untuk arwah.
Aku yakin itu bukti bahawa arwah adalah orang yang diangkat tinggi darjatnya di sisi Allah... amin.
Labels: Lain2